3P- Provide, Protect and Procreate Lambang Lelaki Sejati

Ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Perbezaannya bukanlah menandakan kekuatan dan kelemahan sesuatu jantina tetapi ia adalah ‘compliment’ melengkapkan. Ada perbezaan dari sudut peranan antara 2 jantina tersebut.
Ada peranan yang boleh dilakukan oleh kedua-dua jantina. Tetapi secara lazimnya, ada peranan lelaki harus mainkan dan ada peranan wanita harus mainkan. Perbezaan bukan tanda seteru tetapi melengkapkan. Contohnya wanita peranannya ialah mengandung dan melahirkan zuriat bagi meneruskan kelangsungan generasi manusia tetapi wanita saja tidak cukup, rahim wanita tidak dapat melahirkan tanpa kehadiran benih dari kaum lelaki. Dan disinilah peranan wanita dan lelaki itu ada perbezaan yang melengkapkan.
Ada 3 peranan lelaki yang melambangkan kemegahan dan kekuatan seorang lelaki, walaupun di dunia ini mempunyai berbagai latar agama, budaya dan bangsa, persoalan kelelakian ini tidaklah ada banyak perbezaan bahkan banyak persamaan.
Secara asasnya, ada 3 peranan yang melambangkan lelaki itu adalah lelaki yang sejati.
‘Protect, Procreate, and Provide’.
Menyara, Melindungi dan Keupayaan untuk berketurunan. Cukup 3 syarat ini, tahulah itu lambang lelaki sejati.
Protect (Melindungi)

Asas dalam melindungi itu ialah apabila berlakunya pencerobohan kepada sesuatu batasan yang ditetapkan. Batasan ini boleh tidak terhad kepada bentuk fizikal seperti kawasan contohnya sempadan negara tetapi ia boleh difahami juga sebagai identiti.
Maka dalam konteks peranan lelaki dalam konsep melindungi itu ialah mempunyai keupayaan melindungi ahli keluarganya baik dari sudut keselamatan dan kesihatan dalam aspek fizikal tetapi ilmu, akhlak dan agama atau kepercayaan yang menjadi identiti sebuah keluarga itu.
Sosok lelaki dalam keluarga seperti ayah dan suami menjadi tunjang utama pertahanan dan perlindungan sesebuah keluarga.
Tubuh badan yang sihat, mempunyai ilmu dalam ilmu mempertahankan diri, bersemangat tinggi dan tidak putus asa, dan sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan ahlinya adalah antara ciri-ciri yang baik yang harus ada kepada orang lelaki yang menjadi pelindung dalam keluarga.
Ilmu juga memainkan peranan yang penting bagi menjadi benteng kepada keluarganya. Selain ancaman berupa fizikal seperti rumah dirompak, ahli keluarga diculik, atau dirogol, ancaman dari sudut pemikiran juga menganggu keutuhan sesebuah keluarga.
Pemikiran tidak boleh ditentang dengan kekerasan berbentuk fizikal.
Pemikiran itu adalah hasil dari ilmu dan pengetahuan, pententangan itu mesti datang dari ilmu untuk melawannya.
Berbeza dengan zaman dahulu, ancaman dari sudut pemikiran juga semakin dahsyat.
Bahkan ancaman dari sudut pemikiran inilah nanti akan menatijahkan tindakan dan perilaku yang buruk.
Membendung ancaman pemikiran adalah langkah awal bagi mencegah perilaku buruk dan itulah menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk membendungnya.
Seorang lelaki sebagai ketua keluarga adalah pemimpin. Pemimpin ada kalanya akan membuat keputusan yang menggembirakan ahlinya dan ada ketika dan banyak waktu keputusan dibuat tidak akan digemari oleh ahlinya.
Tetapi bukanlah tugas ketua itu untuk memuaskan hati semua, tujuan ulung seorang ketua keluarga itu adalah melindungi keluarganya walaupun ia mengorbankan kegembiraan keluarganya jika kegembiraan itu boleh membawa ancaman kepada keluarganya sebagai contoh seorang ayah mengerah anak-anaknya yang bermain di luar rumah untuk pulang ke rumah sebelum senja. Membiarkan anak-anak bermain merupakan saat kegembiraan buat mereka tetapi hakikatnya ia mendedahkan mereka kepada bahaya waktu malam, atau sesetengah agama dan kepercayaan percaya waktu senja itu bukanlah waktu yang baik untuk berada di luar rumah.
Tambahan dari ancaman itu, seorang ketua keluarga juga bertindak melindungi keluarganya dari ancaman berbentuk spiritual. Di dalam agama Islam, tanggungjawab seorang ketua keluarga itu adalah memastikan ahli keluarganya mengerjakan ketaatan kepada Tuhan dengan memberikan pendidikan yang sewajarnya.
Jadi seorang ayah itu wajib mempunyai ilmu-ilmu agama yang asas bagi mendidik diri, isteri dan anak-anaknya agar mentaati perintah Tuhan dan meninggalkan larangannya.
Procreate (Keupayaan untuk memberikan zuriat)
Seorang lelaki yang normal secara fitrahnya akan mencari wanita untuk dijadikan pasangan dalam hidup dan seterusnya menjadi asas kepada pembentukan sebuah keluarga.
Lelaki mempunyai sumber benih (sperma) berupaya mengandungkan seorang wanita itu adalah tanda lelaki yang sihat dan sejati.
Pada suatu ketika dulu, isu ini tidaklah besar seperti hari ini. Lelaki yang lahir lelaki berperanan seperti seorang lelaki, menjalani kehidupan sesuai sebagai seorang lelaki adalah lambang kelelakian sejati.
Akhir-akhir ini, isu jantina atau gender menjadi perbahasan hangat. Walaupun sehingga hari ini isu ini seakan tidak digembar-gemburkan oleh media konvensional seperti televisyen dan akhbar, isu gender ini semakin membarah dalam media sosial.
Dilahirkan sebagai seorang lelaki akhirnya setelah dewasa memilih untuk menukar menjadi wanita, menukar disitu bermaksud menukar terus segala aspek dirinya dari seorang lelaki kepada seorang wanita.
Kemaluan lelakinya dibuang, dibedah untuk ditambah ‘kemaluan’ baru, pemakanan ubat-ubat hormon estrogen bagi membantu penumbuhan ciri-ciri kewanitaan seperti penumbuhan buah dada dan kulit yang lembut gebu itu adalah antara usaha-usaha yang dibuat bagi menukar identitnya. Akhirnya ia tidak berperanan seperti seorang lelaki yang sejati.
Bukan itu saja, kes hubungan songsang atau homoseksual juga menjadi isu utama yang melanda kaum lelaki hari ini. Penampilannya ialah penampilan seorang lelaki, pemakaiannya ialah pemakaiannya seorang lelaki tetapi nafsunya cenderung sesama lelaki bukan kepada wanita.
Penanda lelaki sejati itu ialah apabila mampu membiakkan keturunan bersama dengan wanita. Apabila lelaki berhubungan dengan lelaki hakikatnya ia tidak menatijahkan apa-apapun hasil dari hubungan itu.
Tidak sedikit masalah kesihatan seksual dari kalangan kaum lelaki yang lahir dari hasil hubungan songsang ini seperti Aids yang akhirnya memberi mudarat kepada mereka.
Ada pula kes dimana golongan lelaki tidak mampu ‘memberikan’ benihnya kerana kecenderungannya bukanlah kepada wanita yang asli di luar sana tetapi nafsunya telah beralih kepada objek-objek tertentu seperti seluar dalam wanita, kasut, dan haiwan.
Ada yang lebih teruk apabila nafsu mereka telah beralih kepada kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa yang menjadi sebab utama kes rogol kanak-kanak hari ini.
Dan banyak sekali kes dimana golongan lelaki ini lebih cenderung kepada wanita 2D atau gambar-gambar atau video-video wanita terutama gambar-gambar dan video-video pornografi yang sangat banyak dan mudah untuk didapati pada hari ini.
Kecenderungan mereka kepada ‘wanita’ tersebut telah menyebabkan berlakunya perubahan kepada struktur di otak mereka yang menyebabkan meraka berasa bernafsu apabila menonton pornografi tetapi tidak mampu rasa apa-apa atau tak boleh ‘naik dan keras’ samada lama atau langsung apabila mahu melakukan hubungan intim dengan wanita asli.
Sudah pasti apabila berlaku, kelelakian lelaki tersebut tercalar kerana asas lambang lelaki sejati itu tidak ada pada dirinya yang membuatkan wanita itu merasa tidak hormat lagi kepada lelaki tersebut dan akhirnya ia akan membuatkan lelaki itu menjadi seorang lelaki yang mudah putus asa dan tiada keyakinan kepada diri sendiri.
Provide (Keupayaan untuk menyara)
Salah satu lambang kelelakian seorang lelaki itu ialah apabila dia mempunyai keupayaan untuk menyara keluarga. Jika masih bujang, dia mampu untuk menyara dirinya dan ahli keluarga terdekatnya seperti ibu bapa dan adik-beradiknya.
Di bahu lelaki tergalas beban, dari dialah sumber kewangan keluarga itu datang.
Itulah maksud ‘breadwinner’.
Tanpa pendapatan dari dia, beras tidak dapat dibeli, makanan tidak dapat disediakan, kelengkapan asas lain tidak mampu diadakan seperti bil elektrik, telefon dan air yang menjadi asas kehidupan masa kini.
Pada zaman dahulu, zaman dimana pencarian sumber pendapatan masih lagi belum menggunakan wang, para lelaki akan bangun pagi dan pergi mencari atau melakukan pekerjaan yang boleh membawa hasil dan kelengkapan asas dalam rumahnya.
Konteks di tanah melayu, lelaki zaman dulu lazim bercucuk tanam, menternak, memburu, mencari kayu-kayan di hutan, menjadi nelayan, tukang kayu, tukang besi atau apa saja pekerjaan yang relevan pada ketika itu dan ada yang bekerja dengan orang lain yang mampu memberi upah kepadanya.
Hasil daripada pekerjaan berkenaan contohnya yang menanam padi akan menukar dengan barangan lain yang diperlukan bagi memenuhi kebuntuan keluarganya. Contohnya beras ditukarkan dengan daging yang datang dari penternak. Inilah namanya sistem barter. Sistem pertukaran barang.
Masa berlalu, zaman telah beralih ke zaman moden. Semua hasil dan kepakaran tersebut ditukarkan kepada wang. Kepakaran dan hasil yang datang dari bercucuk tanam dan berternak misalnya dijual kepada sesiapa yang memerlukan bagi mendapatkan wang. Dari wanglah digunakan untuk membeli barang keperluan dalam rumah.
Zaman berubah. Golongan lelaki hari ini pun bekerja bagi mendapatkan wang. Selain cara konvensional seperti bercucuk tanam dan menternak, golongan lelaki hari ini punya banyak pilihan untuk menjana pendapatan.
Ada pekerjaan yang memerah kudrat dan keringat, tetapi hasilnya sedikit. Ada pekerjaannya sedikit tetapi hasilnya besar, ada pekerjaan yang memerah keringat dan hasilnya besar dan ada juga bekerja sekali tetapi hasilnya berulang kali.
Persoalan ini menjadi lebih kompleks.
Walaupun golongan lelaki terdedah dengan pilihan yang banyak tetapi tidak semua mampu untuk memilihnya. Sebagai contoh berniaga adalah antara pekerjaan yang mampu menjana pendapatan yang besar jika kena dengan caranya. Tetapi tidak seperti pekerjaan lain terutama yang berasaskan gaji dan upah, mereka yang berniaga sering terdedah kepada ruang untuk membuat keputusan perniagaannya setiap hari dan setiap masa.
Salah pilihan, kecundang. Betul pilhannya, boleh jadi juara dan kaya-raya.
Tetapi hanya yang berani dengan risiko saja mampu membuat keputusan yang drastik yang mereka percaya mampu untuk mengubah hidup mereka. Tidak sedikit ada yang selesa dengan apa yang ada, sekadar cukup-cukup untuk menyara keluarga sudah memadai bagi mereka.
Tidak ada salah. Tidak ada betul. Yang penting dia mampu mencukupkan keperluan dan kelengkapan keluarganya tanpa mengemis sudah menandakan lelaki itu sebenernya adalah sang juara.
Asasnya lelaki yang sejati mesti mempunyai semangat yang cekal dan tidak mudah putus asa dalam menyara keluarganya.
Sanggup berlapar dan membeli barang-barang yang diidamkan adalah pengorbanan yang biasa dilakukan bagi seorang lelaki sebagai langkah berjimat-cermat bagi memastikan ahli keluarganya dulu menikmati hasilnya. Mengutamakan ahli keluarganya dulu berbanding dirinya adalah lambang lelaki sejati.
Dan pada zaman ini, wang yang dapat sama ada hasil dari pekerjaan atau perniagaan mestilah diurus dengan baik kerana jumlahnya yang terhad.
Pengurusan kewangan itulah ilmu yang penting bagi memastikan sumber pendapatan itu diurus dengan baik agar diri dan keluarganya mampu bertahan dalam kehidupan ini.
Lelaki yang boros dalam berbelanja dan gemar berhutang tanpa keperluan boleh menjerat kehidupannya pada masa akan datang.
Lelaki yang culas dalam pengurusan kewangan akan nampak lemah di mata pasangannya.
Sigmaan
Copyright © 2023 All Rights Reserved
